AusRAIL PLUS Conference & Exhibition 2019, SYDNEY

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

Utusan

Tanda amaran dipasang berhampiran platform setiap stesen LRT untuk memaklumkan barang yang tidak boleh dibawa masuk atau perbuatan yang tidak boleh dilakukan oleh orang ramai apabila menggunakan sistem itu.
– Gambar WAHIDAH ZAINAL
KELANA JAYA 13 Jan. – Tahukah anda operasi sistem transit aliran ringan (LRT) sering terganggu hanya disebabkan oleh tindakan-tindakan tidak wajar oleh sebahagian pengguna pengangkutan awam moden itu?

Antara puncanya ialah pengguna turun ke trek semata-mata untuk mengambil gambar!

Mereka tidak terfikir yang perbuatan mereka itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah berpuluh atau mungkin beratus-ratus penumpang yang berada dalam tren.

“Ini kerana tren akan membrek secara tiba-tiba jika terdapat gangguan pada trek di platform yang berhampiran dengan tren,” kata Pengurus Kanan Operasi RapidKL, Ismail Abdullah kepada pemberita sewaktu membuat lawatan ke stesen LRT Taman Bahagia dekat sini kelmarin.

Tindakan tren membrek kecemasan itu, tegas beliau, boleh meningkatkan risiko penumpang dalam tren mengalami kecederaan kerana mereka mungkin tercampak, terguling dan sebagainya.

Jelasnya, ini kerana terdapat alat pengesan di atas trek yang akan aktif apabila sesuatu yang melebihi berat tujuh kilogram berada di atasnya sebagai langkah keselamatan.

Alat pengesan itu yang dipanggil Alat Pencegahan Pencerobohan Automatik (PIES) akan menghantar isyarat dan tren akan melakukan brek kecemasan.

“Tren berdekatan yang hendak berlepas juga akan berhenti apabila mendapat isyarat itu,” tegas Ismail sambil menambah kesemua 23 stesen LRT Aliran Kelana Jaya dilengkapi PIES kerana trennya tidak mempunyai pemandu.

Ujarnya, bagi mereka yang terjun atau turun ke trek pula, mereka berkemungkinan tersentuh trek ketiga berdekatan platform tengah yang membekalkan kuasa elektrik 750 volt untuk tren berfungsi.

Sebab lain pengguna turun ke trek, kata Ismail, adalah untuk menyeberang ke platform sebelah.

“Ini dilakukan kerana mereka tersilap platform. Mereka mengambil jalan mudah dengan turun ke trek dan memanjat pagar di platform tengah untuk ke seberang. Ini sering berlaku di stesen Pasar Seni.

“Pagar di platform tengah kini telah ditinggikan dan tiada lagi kes orang memanjat namun mereka pergi ke bahagian yang tiada pagar pula untuk ke seberang,” jelasnya.

Katanya, 36 peratus daripada kes pencerobohan trek membabitkan warga asing dan penceroboh kebanyakannya berusia 22 tahun ke atas dan dilakukan terutamanya pada waktu platform lengang.

Ujarnya, apabila tren membrek secara mengejut, pihaknya akan mengambil masa selewat-lewatnya empat minit untuk mengembalikan operasi tren berkenaan ke operasi normal.

“Ini bagaimanapun bergantung kepada keadaan. Jika berlaku kecederaan kepada penumpang dalam tren, sudah tentu kita perlu memberikan bantuan awal dan sebagainya sebelum tren berkenaan dapat beroperasi semula,” jelasnya.

Ujarnya, walaupun tren di stesen lain tidak terganggu dengan kejadian yang berlaku di stesen-stesen tertentu tetapi ia akan mengganggu frekuensi operasi tren kerana apabila tren tertentu tiba di kawasan yang mengalami gangguan ia juga akan berhenti.

Seorang pegawai keselamatan Putra LRT berkata, kebanyakan mereka yang turun untuk mengambil gambar di atas trek adalah terdiri daripada warga asing terutama pelancong Arab.

“Selain pelancong Arab, mereka yang berbuat begitu terdiri daripada pekerja asing yang belum tahu berbahasa Melayu,” katanya.

Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah berkata, kejadian trek diceroboh berlaku hampir setiap hari.

Kejadian ini telah banyak kali mengganggu dan melewatkan operasi perkhidmatan LRT kerana tren terpaksa diberhentikan bagi membolehkan langkah-langkah wajar diambil untuk memastikan trek selamat.

“Antara sebab utama penumpang memasuki trek adalah kerana mereka mahu mengambil barang yang terjatuh seperti kasut, tiket, telefon bimbit atau mengambil gambar.

“Mungkin mereka melihat trek adalah tempat paling sesuai untuk bergambar kerana platform yang tinggi dan lapang. Memang pemandangannya menarik tetapi perbuatan ini membahayakan nyawa mereka dan penumpang dalam tren,” katanya.

Mengikut statistik, katanya, sebanyak 195 pencerobohan trek aliran Kelana Jaya berlaku pada tahun lalu, meningkat empat kes berbanding tahun sebelumnya.

Bagi aliran Ampang pula, ujar beliau, sebanyak 11 kes dicatatkan berbanding 12 pada 2007.

“Sebab itulah kami cuba mendidik pengguna supaya tidak menceroboh trek kerana kami melihat kes pencerobohan meningkat dari tahun ke tahun… sebagai contoh meningkat tiga peratus pada 2008 berbanding tahun 2007,” ujar Ismail.

Ditanya mengapa pencerobohan trek aliran Ampang jauh kurang berbanding aliran Kelana Jaya, Ismail menjelaskan, ia kerana platformnya lebih tinggi menyebabkan orang takut cedera jika terjun manakala tren pula menggunakan pemandu.

“Bagaimanapun, gangguan paling serius pada sistem aliran Ampang ialah apabila kabel elektrik dicuri,” kata Ebi Azly pula.

Jelasnya, penceroboh yang ditangkap akan dibawa ke balai polis untuk tindakan undang-undang. Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 yang membawa denda tidak melebihi RM500.

Akta yang sama juga boleh mengenakan denda RM1,000 dan diusir serta-merta jika orang yang berkenaan enggan meninggalkan kawasan terbabit setelah diminta berbuat demikian oleh pegawai kereta api.

“Ramai yang telah dihantar ke balai polis kerana kami melihat perkara ini semakin meningkat setiap tahun. Kami tidak akan memberi peluang lagi kepada penceroboh trek,” tegasnya.

Ditanya mengenai jalan penyelesaian untuk mengurangkan masalah itu, Ebi Azly berkata, pihaknya akan menambah pegawai keselamatan dan sedang mempertimbangkan untuk memasang penghadang berpintu di atas platform seperti yang digunakan di stesen monorel.

“Selain itu, kami harap pengguna memaklumkan kepada pegawai kami jika barangan mereka terjatuh di atas trek supaya tindakan lebih selamat dapat diambil,” ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd